Tuesday, March 31, 2009

Usul: Kaedah Perubatan Alternatif meningkatkan Kesihatan Pengguna

Sila muat turun dan tonton Pertandingan Akhir Bahas Ala Parlimen Piala Perdana Menteri ke-35 2008 (BM) seperti yang terdapat dalam http://www.eduwebtv.com/index7.php?PageSelId=21#

Siri 147 - Mangkin atau pemangkin dan leluasa atau leluasa

Kita sering membaca atau mendengar perkataan `pemangkin’ dan `berleluasa’ digunakan dalam ayat seperti yang di bawah ini:

1. Bioteknologi pemangkin kemajuan ekonomi negara.
2.Gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita semakin berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Apakah maksud `mangkin’? `Mangkin’ seperti yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah faktor (unsur dan sebagainya) yang dapat mempercepat atau menyegerakan berlakunya sesuatu perkembangan. Ayat contoh yang dikemukakan ialah `Gerakan bimbingan kerjaya Malaysia boleh menjadi mangkin yang merapatkan perhubungan antara majikan dengan institusi pelajaran bagi menerbitkan pekerjaan.

Apakah maksud `leluasa’? `Leluasa’ bermaksud 1. tidak terbatas atau tersekat-sekat (kelakuan, perbuatan, dan sebagainya), atau bebas. Ayat contoh yang dikemukakan ialah `Bilakah kita akan bertemu pula dengan leluasa?.

Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan kelewahan bahasa, ayat (1) dan (2) di atas adalah lebih baik menggunalan perkataan `mangkin’ atau `leluasa’ seperti yang di bawah ini:

(1a) Bioteknologi mangkin kemajuan ekonomi negara.
(2a) Gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita semakin leluasa bagai cendawan tumbuh selepas huja.

Saturday, March 28, 2009

Siri 146 – Bila dan apabila

Dalam bahasa Melayu, pengguna sering menggunakan kata keterangan tanya `bila’ bertukar ganti dengan kata hubung pancangan keterangan `apabila’. Sebenarnya, kata `bila' diguankan dalam ayat tanya, manakala kata `apabila' digunakan dalam ayat majmuk pancangan keterangan.

Ayat contoh:
1.Dia pergi ke Seremban bila? [/]
2.Saya akan membaca buku apabila mempunyai masa yang terluang. [/]
3.Nyamuk Aedes akan mula mencari mangsa apabila waktu senja tiba.[/]
4. Apabila tiba waktu puncak, kesesakan pasti akan berlaku di Kuala Lumpur. [/]

Ayat (1) hingga (4) tidak gramatis jika diungkapkan seperti yang berikut:
1a. Dia pergi ke Seremban apabila? [x]
2a. Saya akan membaca buku bila mempunyai masa yang terluang. [x]
3a. Nyamuk Aedes akan mula mencari mangsa bila waktu senja tiba.[x]
4a. Bila tiba waktu puncak, kesesakan pasti akan berlaku di Kuala Lumpur. [x]

Wednesday, March 25, 2009

Bahas Ala Parlimen - Usul yang berat sebelah

Banyak pertandingan perbahasan ala parlimen mutakhir ini tidak menepati konsep yang sebenarnya. Jika dikatakan perbahasan mengikut cara usul yang dikemukakan di parlimen, usul tersebut sepatutnya berbentuk usul atau cadangan. Persoalannya ialah adakah tajuk-tajuk yang di bawah ini menepati konsep usul:

1.Sektor pelancongan menjana ekonomi negara.
2.Modal Insan yang berkualiti mangkin kemajuan negara.

Tajuk seperti ini merupakan tajuk yang bias. Tajuk bahas ala parlimen sebenarnya usul. Usul ialah sesuatu yang hendak dibawa ke parlimen dan dibentangkan supaya diterima atau ditolak oleh ahli dewan. Contoh usul adalah seperti yang berikut:

3.Program realiti televisyen perlu diteruskan.
4.Mata pelajaran Sains dan Matematik mestilah diajarkan dalam bahasa Melayu.
5. Pendekatan kaunseling mampu menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

Tujuan pertandingan bahas ala parlimen adalah untuk melahirkan pelajar yang petah berhujah, berani bercakap di khalayak, mengeluarkan hujah berserta bukti, dan sebagainya. Oleh itu, setiap penganjur pertandingan mestilah memastikan setiap usul tidak berat sebelah atau bias dalam sesuatu pertandingan perbahasan. Jika pertandingan perbahasan tersebut pada peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan perbahasa ala parlimen antara universiti, tajuk (1) dan (2) tersebut sememangnya sesuai.

Siri 145 - Mutakhir atau mutakhir ini?

Maksud mutakhir ialah terakhir, terbaharu, kemas kini, paling akhir, akhir-akhir (ini).

Ayat contoh:
1.Para sasterawan negara akan membicarakan perkembangan novel Malaysia mutakhir.(terakhir/paling akhir)

2.Pada tahun-tahun mutakhir ini, banyak kajian tindakan yang dilakukan oleh guru-guru untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. (akhir-akhir)

3.Prof. Emeritus Dato` Asmah Hj. Omar telah menghasilkan buku Nahu Bahasa Melayu Mutakhir. (terbaharu/kemas kini)

Terdapat sedikit kesilapan dari segi pemberian makna mutakhir oleh penyusun Kamus Dewan Edisi Keempat. Satu daripada maksud mutakhir ialah akhir-akhir, bukannya akhir-akhir ini. Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa Melayu boleh menggunakan ungkapan `Mutakhir ini’ atau `akhir-akhir ini’ dalam pengenalan karangan seperti yang di bawah ini:

4. Mutakhir ini, gejala sosial dalam kalangan remaja semakin leluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

5. Akhir-akhir ini, kerajaan mula memandang serius tentang amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Saturday, March 21, 2009

Gambar Terpilih Minggu Ini - Kelas 5 Kempas


Gambar ini diambil ketika murid-murid mendaftar untuk aktiviti kokurikulum.

Tugasan Karangan untuk Pelajar Kelas 5 Cengal

Cikgu memohon ampun maaf kerana cikgu tidak dapat hadir ke sekolah pada 23 hingga 25 Mac 2009. Pada tarikh tersebut, cikgu akan berada di Port Dickson kerana berkursus. Oleh itu, cikgu telah menyediakan tugasan penulisan karangan untuk anda semua. Jadi, sila buka e-mel untuk mengetahui tugasan masing-masing. Pelajar yang mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan ala parlimen dikecualikan daripada tugasan ini. Kepada pelajar yang masih belum mempunyai e-mel, dapatkan tugasan anda daripada Vivian.

Friday, March 20, 2009

Usul - P&P Matematik dan Sains wajar dalam BM

Soalan:
Saya akan menyertai pertandingan perbahasan ala parlimen. Usul yang telah ditetapkan ialah `Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik wajar menggunakan Bahasa Melayu.' Bolehkah cikgu membantu saya untuk mengemukakan hujah baik sebagai kerajaan, mahupun sebagai pembangkang?

Drp: Nazif Beckham
SMK Bandar Baru Sintok..

Jawaban:
Usul ini bagus dan adil. Banyak hujah yang boleh diutarakan sama ada untuk menerima atau menolak usul.

Jika sebagai kerajaan, anda hendaklah mengemukan hujah untuk menyokong usul tentang sebab-sebab mata pelajaran Matematik dan Sains diajarkan dan dipelajari dalam BM. Antara hujah yang hendak dikemukakan adalah seperti yang berikut:

1. Berdasarkan perlembagaan Negara-Nyatakan bahawa BM merupakan Bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan serta bahasa Penghantar dalam Sistem Pendidikan di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu mestilah diajarkan dalam bahasa Melayu.
2. Bahasa Melayu mampu memperkatakan apa-apa jua bidang ilmu. Yang tidak mampu ialah penuturnya.
3. Bahasa Melayu telah terbukti sebagai Lingua Franca di Nusantara sejak Zaman Kerajaan Sri Vijaya dan Kerajaan Melaka.

Jika sebagai Pembangkang, anda hendaklah mengemukakan hujah tentang kesan negatif yang akan timbul jika mata pelajaran Matematik diajarkan dalam BM.

1. Pelajar Malaysia akan menghadapi masalah untuk mengikuti pelajaran di luar negara kerana kebanyakan negara di dunia menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mengajarkan Matematik dan Sains.
2. Banyak istilah sains dan Matematik tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Apabila istilah tersebut diMelayukan, maka bahasa Melayu akan tercemar sekali gus akan menggugat taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kerajaan terpaksa meningkatkan aktiviti penterjemahan. Usaha Penterjemahan pula akan menyebabkan perbelanjaan yang besar dan kita menghadapi masalah tentang tenaga pakar untuk kerja-kerja penterjemahan tersebut.

Hujah yang dikemukakan mestilah disokong dengan bukti atau fakta yang meyakinkan.

Drp;
Cikgu Ghalib

Buku Karangan Contoh PMR dan SPM

Dengan ini dimaklumkan bahawa pihak Pearson-Longman akan menerbitkan Buku Karangan Contoh untuk PMR dan SPM. Setiap buku ini mengandungi jumlah karangan yang tidak kurang daripada 150 karangan. Keistimewaan buku tersebut ialah setiap karangan contoh mengandungi pelbagai kata, frasa, ungkapan dan juga peribahasa yang menarik. Buku karangan contoh SPM ditulis oleh Cikgu Razak dari Johor Baharu dan Cikgu Ghalib, manakala Buku Karangan Contoh PMR ditulis oleh Cikgu Tuan Jamil dari Kelantan dan Cikgu Ghalib.

Thursday, March 19, 2009

Konsep Bahas Ala Parlimen Sekolah Menengah Malaysia

Kesilapan yang dilakukan oleh pembahas ala parlimrn ialah mereka meminda usul atau cuba lari daripada usul.

Contoh Usul 1:

Cuti sekolah perlulah dipendekkan.

Sebagai pihak pembangkang, mereka hendaklah menolak usul ini dengan mengemukakan hujah-hujah yang konkrit. Hujah yang konkrit bagi pihak pembangkang ialah mereka mestilah menyatakan bahawa `Jika cuti sekolah dpendekkan:

1 Hubungan kekeluargaan akan terjejas.
2. Sektor pelancongan akan merosot
3. Masa murid untuk mengulang kaji terbatas.

Jika mereka berhujah dengan menyatakan bahawa `Cuti sekolah perlu dipanjangkan’, hal ini bemakna pihak pembangkang telah mengubah usul atau lari daripada usul.

Contoh Usul 2:
Keteguhan Ekonomi menjadi tunjang kemajuan negara.

Sebagai pembangkang, anda hendaklah menolak usul dengan mengemukakan kelemahan ekonomi yang tidak mampu menjadi tunjang kepada kemajuan negara. Hujahnya ialah :

1.Kemelesetan ekonomi global memberikan kesan kepada perkembangan ekonomi negara.
2.Minyak yang menjadi tunjang ekonomi semakin berkurang.
3. Pasaran Saham negara semakin jatuh
4. Kemajuan dan perkembangan ekonomi terlalu bergantung pada warga asing.

Jika pembangkang menyatakan keteguhan politik, sosial dan pendidikan sebagai tunjang kemajuan negara, bukannya ekonomi, maka pihak pembahas telah meminda usul atau lari daripada usul.

Ingatlah bahawa dalam pertandingan bahas, kita hendaklah berhujah tentang usul yang dikemukakan oleh kerajaan. Warga Dewan pula akan membuat keputusan sama ada usul itu ditolak atau diterima. Jumpa lagi. Salam perbahasan.

Tuesday, March 17, 2009

Bahas Ala Parlimen 2009

Usul :“Penggunaan Internet membawa kebaikan kepada pelajar.”

(AF) Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya membuka arena perdebatan pada hari ini. (AF) Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, barisan kerajaan, perwakilan pembangkang, Ahli-ahli Yang Berhormat sidang parlimen sekalian.
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan selamat bersidang.
(AF) Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya amat bersyukur kerana berkat keamanan dan keharmonian bawah kepemimpinan kerajaan pada hari ini dewan kembali bersidang bagi membahaskan satu usul yang begitu penting untuk dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
(AF) Usul pada hari ini berbunyi,”Penggunaan Internet membawa kebaikan kepada pelajar,”
Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
(Sila sambung.... )

Sunday, March 15, 2009

Siri 144 - Kata `dalam’ sebagai KSN, KA dan KN arah

Banyak pengguna yang tidak menyedari bahawa kata `dalam’ mendukung tiga jenis kata dalam bahasa Melayu bergantung pada kedudukannya dalam ayat. Lihat ayat-ayat tersebut seperti yang di bawah ini:

1. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa kita mesti bertindak dengan segera.
2. Perigi yang terletak di tepi sawah itu sangat dalam.
3. Ketiga guru disiplin sampai, hanya mereka berdua berada di dalam bilik kelas itu.

Dalam ayat-ayat di atas, kata dalam dalam ayat pertama ialah kata tugas, iaitu kata sendi nama. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak boleh meletakkan kata penguat, kata bantu atau kata bilangan untuk mendampingi kata berikut seperti *sangat dalam hal ini, telah dalam hal ini, atau lima dalam hal ini. Kata dalam dalam ayat (2) sememangnya dapat disertai kata penguat. Oleh itu, kata tersebut ialah kata adjektif. Dalam ayat (3) pula, kata dalam ialah kata nama arah yang bermaksud ruang. Kata ini dikatakan kata nama kerana kata ini hadir selepas kata sendi. Selain itu, kata nama hadir selepas kata sendi nama. Ingat! Dalam bahasa Melayu, selain kata bilangan sebagai penentu kata nama, kata sendi juga boleh menjadi penentu bagi kata nama. Tegasnya, kata dalam dalam ayat (1) ialah kata sendi, dalam ayat (2) kata adjektif, dan dalam ayat (3) ialah kata nama arah.

Kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa ialah menggunakan kata `dalam’ sebagai kata hubung seperti ayat-ayat yang di bawah ini:

4. *Ibu baba memainkan peranan yang penting dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam keluarga.
5. *Semua calon mestilah berhati-hati dalam menjawab soalan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.

Ayat yang betul adalah seperti yang berikut:
4a. Ibu baba memainkan peranan yang penting untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam keluarga.
5a. Semua calon mestilah berhati-hati ketika menjawab soalan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.

Kesimpulannya, kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa ialah mereka menggunakan kata `dalam’ di tempat kata hubung `untuk’ dan `ketika’. Oleh itu, semua pengguna bahasa hendaklah berhati-hati menggunakan kata `dalam’ kerana kata `dalam’ bukan kata hubung.

Siri 143- Melengkapi atau melengkapkan

Apitan men-...-kan dan men---i sering mengelirukan pengguna. Hal ini terbukti apabila pengguna bahasa menggunakan apitan men-...-kan pada tempat apitan men-..-i atau menggunakan apitan men-...i pada tempat apitan men-...-kan. Lihat ayat-ayat di bawah ini:

1(a) *Dia melengkapi ilmu pengetahuan di dalam dirinya sebelum menceburi bidang itu.
1(b) *Dia mengulang kaji pelajaran untuk melengkapkan dirinya menghadapi peperiksaan.
2(a) *Gambar-gambar yang cantik melengkapkan bilik itu.
2(b) *Murid-murid itu melengkapi gambar-gambar yang cantik di bilik itu.


Ayat-ayat tersebut sepatutnya menggunakan apitan seperti yang berikut:
1(a) Dia melengkapkan ilmu pengetahuan di dalam dirinya sebelum menceburi bidang itu.
1(b) Dia mengulang kaji pelajaran untuk melengkapi dirinya menghadapi peperiksaan.
2(a) Gambar-gambar yang cantik melengkapi bilik itu.
2(b) Murid-murid itu melengkapkan gambar-gambar yang cantik di bilik itu.

Dalam ayat-ayat di atas, apitan men-..-i hendaklah diikuti oleh objek yang tidak bergerak atau objek menerima sesuatu. Dalam ayat 1(b) objek, iaitu diri dikatakan tidak bergerak dan menerima sesuatu, iaitu ilmu. Begitu juga halnya objek, iaitu bilik dalam ayat 2(a) tidak bergerak dan menerima sesuatu, iaitu gambar-gambar yang cantik. Apitan men-...-kan pula hendaklah diikuti oleh objek yang bergerak. Sebagai contohnya, objek, iaitu ilmu pengetahuan dalam ayat 1(a) bergerak secara abstrak untuk masuk ke dalam dirinya. Begitu juga halnya objek, iaitu gambar-gambar yang cantik dalam ayat 2(b) bergerak masuk ke dalam bilik kerana dibawa oleh murid-murid untuk diletakkan di dalam bilik itu sebagai perhiasan.

Kesimpulannya, apitan men-..-kan dalam ayat di atas hendaklah diikuti oleh objek yang bersifat kausatif, manakala apitan men-...i hendaklah dikuti oleh objek yang bersifat lokatif.

Saturday, March 14, 2009

Cikgu Zakri - Budimu dikenang

Pada 12 hingga 14 Mac yang lalu, saya dan dua orang rakan, iaitu Dr. Ghazali dan Cikgu Azmi Misron telah menyertai Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu, di Besut, Trengganu. Oleh sebab Pekan Besut terletak jauh dari Kuala Terengganu, sudah tentulah kami mengalami pelbagai masalah untuk mendapatkan teksi. Jadi, kami amat berterima kasih kepada Cikgu Zakri daripada SMK Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Trengganu yang sanggup menghantar kami ke Kuala Terengganu untuk mendapatkan tempat penginapan yang selesa dan melayan kami seperti melayan sahabat yang sudah lama dikenali. Walaupun kami baru sahaja berkenalan, namun sikap baik hati dan budi bahasa yang ditunjukkan oleh Cikgu Zakri amat meninggalkan kesan yang mendalam di sanubari kami. Untuk itu, kami tujukan pantun ini khas untuk Cikgu Zakri yang budiman:

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh kubayar,
Hutang budi kubawa mati.

Atas segala pertolongan ini, akan kami ingat sampai bila-bila. Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mendoakan kesejahteraan dan kebahagian Cikgu Zakri sekeluarga sepanjang hayat.

Siri 142-`Kata Ganda’, `Kata Majmuk’ atau `rangkai kata?

Dalam bahasa Melayu, kata ganda, kata majmuk, dan ragkai kata berbeza. Sudahkah anda menguasainya. Jika sudah, sila jawab soalan yang di bawah ini?

(1) Nyatakan perkataan yang bercetak tebal itu betul atau salah dan berikan alasan anda
(2) Nyatakan jenis kata bagi setiap perkataan tersebut dan buktikan jawaban anda itu betul:-

1. Dia hidup senang-lenang tanpa perlu bersusah payah kerana harta yang ditinggalkan oleh ayah mereka terlalu banyak.
2. Dalam keadaan susah senang, kita mestilah senantiasa hidup bersama.
3. Keadaan menjadi tunggang-langgang apabila ribut melanda kampung itu ketika majlis baru sahaja berlangsung selama beberapa minit.
4. Semua pinggan mangkuk itu akan kami bersihkan sebentar lagi.
5. Tinggi rendah nada suara seseorang itu bergantung pada jenis lagu yang akan dinyanyikan.
6. Sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam majlis itu, sila hubungi urus setia.
7. Mereka tolak-menolak ketika membeli tiket wayang itu.
8. Mereka memenangi pertandingan itu kerana mereka memang mahir dalam selok-belok permainan wau.
9. Budak-budak itu berlari lintang-pukang apabila dikejar oleh anjing.
10. Dia memang pakar dan mengetahui serba-serbi dalam perkara itu.
11. Ibu bapa mereka terkesima apabila melihat sampah sarap di halaman rumah mereka.
12. Rumahnya yang di kelilingi bukit bukau itu kelihatan indah nian.
13. Ketika penduduk kampung itu menyambut kedatangan Syawal dengan perasaan riang gembira, suasana suram masih menyelubungi ibu tunggal itu dan lima orang anaknya.

Friday, March 13, 2009

Siri 141- Kata Akronim dalam bahasa Melayu

Salah satu proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu adalah melalui akronim. Akronim ialah singkatan dalam bahasa Melayu yang terbentuk dengan cara menggabungkan huruf atau suku kata untuk membentuk perkataan baharu. Lihat beberapa perkataan yang di bawah ini hasil daripada pembentukan kata melalui akronim:

1.berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
2.pawagam – panggung wayang gambar
3.proton – Perushaan Otomobil negara
4.kugiran – kumpulan gitar rancak
5. Uniputra-Universiti Putra Malaysia.


Perkara menarik yang hendak diperkatakan di sini ialah banyak pengguna bahasa Melayu yang tidak menyedari bahawa kata di bawah ini sebenarnya merupakan akronim.

6.Cikgu
7.Awas
8.Bah

Kata `cikgu’ dikatakan akronim kerana kata ini berasal daripada ungkapan `Encik guru’ Hasil daripada gabungan suku kata cik+gu, maka terhasillah gelaran atau panggilan `cikgu’.

Selain itu, kata `awas’ yang bermaksud `berhati-hati’ juga merupakan akronim. Kata ini berasal daripada ungkapan `Anda Waspada Anda Selamat.

Kita juga pernah menggunakan perkataan `bah’ yang bermaksud `banjir’. Perkataan ini sebenarnya berasal daripada ungkapan `Bencana Air Hujan’.

Kita juga pernah mendengar perkataan `Tonto’ yang merujuk kepada sekumpulan gengster yang melindungi peniaga daripada tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Tonto merupakan gabungan beberapa huruf daripada ungkapan `Tolong Orang Nak Tipu Orang’.

Demikianlah beberapa kata yang terdapat dalam bahasa Melayu yang terbentuk melalui akronim.

Wednesday, March 11, 2009

Tahniah kepada pelajar 5 Cengal 2008

Cikgu mengucapkan tahniah kepada semua pelajar kelas 5 Cengal 2009 kerana telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, khususnya Wan Sook Ting, Sim Joon Sim, Wan Nabila, Aishah, Nuraini, Yuhaniq, Don Haris, John Loo, dan lain-lain lagi.

Siri 140 – Jenis kata bagi kata `untuk’

Masalah yang sering dihadapi oleh pengguna bahasa ialah golongan kata yang sering berubah-ubah apabila digunakan dalam ayat. Ada perkataan yang tertentu berubah kepada beberapa golongan kata yang lain. Sebagai contohnya, kata `untuk’ dalam bahasa Melayu terdiri daripada 3 jenis kata bergantung pada kedudukannya dalam ayat. Lihat penggunaan kata `untuk’ dalam ayat-ayat yang berikut:

  1. Hadiah ini untuk ibuku yang disayangi.
  2. Kita mestilah bertindak dengan segera untuk mengatasi masalah ini.
  3. Untuk Ali melakukan perkara itu amat sukar.

Dalam ayat (1) di atas, kata untuk ialah kata sendi. Hal ini dikatakan demikian kerana kata sendi untuk hadir sebelum kata nama. Dalam bahasa Melayu, setiap kata sendi diikuti oleh kata nama. Kata untuk dalam ayat (2) pula ialah kata hubung pancangan keterangan tujuan.Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

2(a) Kita mestilah bertindak dengan segera.

2(b) Kita mestilah mengatasi masalah ini.

Apabila kedua-dua ayat tersebut disambungkan, maka terbentuklah ayat majmuk pancangan keterangan tujuan seperti yang di bawah ini:

  1. Kita mestilah bertindak dengan segera untuk mengatasi masalah ini.

Kata hubung pancangan keterangan tujuan untuk bukan kata sendi kerana kata itu diikuti oleh kata kerja, dan bukannya kata nama.

Dalam ayat (3) pula, kata untuk bukan kata sendi nama walaupun kata itu diikuti oleh kata nama, iaitu Ali. Kata untuk dalam ayat (6) tersebut sebenarnya ialah kata hubung pancangan komplemen. Hal ini disebabkan kata itu hadir dalam ayat majmuk pancangan komplemen. Kata tersebut bertugas sebagai penyambung antara ayat induk dengan klausa komplemen. Ayat (3) sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

3(a) Ali melakukan perkara itu.

3(b) Perkara itu amat sukar.

Apabila kedua-dua ayat di atas digabungkan, maka terbentuklah ayat majmuk pancangan komplemen seperti yang di bawah ini:

3.Untuk Ali melakukan perkara itu amat sukar.

Dalam ayat (3) di atas, ayat komplemen telah menggantikan frasa nama yang berfungsi sebagai subjek. Dalam hal ini, kata hubung pancangan komplemen untuk tidak boleh digugurkan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kata untuk ialah kata yang bertugas sebagai kata penyambung.

Kesimpulannya, golongan kata dalam bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai jenis. Oleh itu, pengguna bahasa Melayu mestilah mengetahui atau mempunyai cara untuk membezakan jenis-jenis kata tersebut. Selain itu, untuk mengenal kata-kata tersebut, kita mestilah melihat kedudukan dan fungsi kata-kata tersebut dalam ayat. Sebenarnya, terdapat banyak lagi kata dalam bahasa Melayu yang berubah fungsi apabila berada dalam ayat. Oleh itu, kita seharusnya menguasai kata, frasa, klausa, dan ayat.. Penguasaan aspek ini akan membantu seseorang untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Siri 139 - Kata hubung komplemen `untuk’

Kata `untuk’ dalam bahasa Melayu lebih dikenali oleh pengguna bahasa Melayu sebagai kata sendi nama. Banyak pengguna yang tidak menyedari bahawa kata `untuk’ juga merupakan kata hubung pancangan keterangan dan kata hubung komplemen. Apabila perkara ini tidak diketahui, pengguna sering mengabaikan penggunaan kata `untuk’ di tempat yang sepatutnya. Kesilapan ini sering kita lihat dalam ayat seperti yang berikut:

1. Langkah menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.
2. Usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3. Anda dikehendaki menulis jawaban tersebut dengan lengkap.

Penjelasan:
Ayat (1) hingga (3) di atas sebenarnya tidak tepat. Ayat yang tepat ialah:

1a. Langkah untuk menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.
2a. Usaha untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3a. Anda dikehendaki untuk menulis jawaban tersebut dengan lengkap.

Dalam ayat (1a) hingga (3a) di atas, klausa komplemen seperti ` untuk menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja’, ` untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes, dan `untuk menulis jawaban tersebut dengan lengkap’ merupakan pelengkap kepada subjek. Jika bahagian tersebut tidak ada, maka ayat tersebut menjadi ayat yang berikut:

1b. Langkah perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.
2b. Usaha menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3b. Anda dikehendaki dengan lengkap.

Dalam ayat (1b) hingga (3b) di atas, subjek kelihatan tidak lengkap, iaitu `langkah apa?’, `usaha apa?’ dan `dikehendaki apa?’. Untuk mengetahui perkara ini lebih jelas, sila lihat ayat (3). Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

4. Cikgu menghendaki anda menulis jawaban dengan lengkap. [aktif]

4a. Anda dikehendaki oleh cikgu menulis jawaban tersebut dengan lengkap.[pasif]

3. Anda dikehendaki menulis jawaban tersebut dengan lengkap.[Selepas oleh + FN digugurkan]

Ayat di atas tidak akan lengkap jika ditulis seperti yang berikut:
4b. Cikgu menghendaki anda.

Persoalannya ialah `Cikgu menghendaki anda apa?’

Dalam ayat 4b di atas, ayat tersebut memerlukan pelengkap. Jadi, pelengkap ayat tersebut merupakan klausa komplemen. Hal ini membuktikan bahawa klausa komplemen penting dan perlu ada dalam ayat. Persoalannya ialah mengapakah pengguna menggugurkan kata komplemen? Jika kata komplemen tidak penting dalam bahasa Melayu, mengapakah kata ini diwujudkan? Oleh sebab itu, penggguna bahasa Melayu hendaklah mendalami ilmu tentang komplemen dalam bahasa Melayu.

(Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan kertas kerja tentang `Komplemen dalam Bahasa Melayu’, sila hantar e-mel kepada saya.)

Tuesday, March 10, 2009

Pelajar Terbaik Mata Pelajaran BM




Dengan ini dimaklumkan bahawa pelajar yang mendapat markah kertas Bahasa Melayu yang tertinggi dalam Ujian Bulanan Setara 1 adalah seperti yang berikut:




1. Khairulnisanabila Bt. Nordin - (Kelas 5 Kempas)


2. Vivien Chee Hui Shean - (Kelas 5 Cengal)




Kedua-dua orang pelajar ini menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50.00 setiap seorang.

Cikgu mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada anda berdua kerana telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Melalui pengikhtirafan seperti ini, cikgu berharap agar semua murid kelas 5 Kempas dan 5 Cengal akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan yang gemilang dalam peperiksaan setengah tahun nanti.

Pelajar Kelas 5 Kempas 2009







Pelajar Kelas 5 Kempas dijangka mencatat keputusan 100% kelulusan Bahasa Melayu dalam SPM 2009. Moto Kelas `5 KEMPAS BAIK PUNYA'



Siri 138-Nyata

Dalam bahasa Melayu, `nyata’ bermaksud :
i. jelas dan terang, pada pendengaran atau penglihatan.
ii. nampak dengan terang dan ketara.
iii. benar-benar ada, maujud atau wujud.

Ayat contoh:
1. Dari jauh tampak nyata lembaga itu.
2. Makin aku perhatikan orang itu, makin nyata tujuannya
3. Dalam kehidupan alam yang nyata, segala-galanya memerlukan pembuktian.

Kata `nyata’ juga menjadi kata dasar beberapa perkataan yang berikut:
a. menyatakan. Maksudnya ialah:
i.. menjadikan nyata, menerangkan, atau menjelaskan.
ii. menampakkan atau menunjukkan.
iii. memberitahu, melaporkan atau memaklumkan.

Ayat contoh:
1. Di dalam buku ini, ada dinyatakan dengan ringkas perihal mengubat penyakit yang biasa terjadi.
2.Ya Tuhanku, hendaklah engkau menyatakan kebesaran-Mu akan hamba-Mu.
3. Ismail berjumpa dengan pegawai tingginya untuk menyatakan ketibaannya.
4.Berkali-kali ia menyatakan keinginannya mahu bertukar kerja.

b. ternyata. Maksudnya:
i. sudah nyata, iaitu nampak dengen terang, terbukti, ketahuan, atau ketara.
ii. sudah tersebut atau tertulis, tercatat, atau tersiar.
Ayat contoh:
1.Bakal jodoh yang dipilihnya ternyata sudah ada yang punya.
2.Kesalahannya sudah ternyata.

c. kenyataan. Maksudnya ialah:
i. perihal nyata, kejelasan, atau keterangan.
ii. keadaan atau hal yang nyata atau kebenaran.
iii. sesuatu yang dinyatakan atau diberitahu, atau diumumkan, penjelasan, pengumuman, atau sudah nyata, terbukti, atau ternyata

Ayat Contoh:
1.Segala kenyataan telah menghilangkan segala sangkaan.
2. Akhirnya aku terpaksa menerima kenyataan itu juga.
3. Perdana Menteri membuat satu kenyataan penting melalui radio malam ini.
4. Segala maklumat mestilah dipaparkan pada papan kenyataan persatuan dan kelab.

d. pernyataan. Maksudnya kata-kata yang menyatakan atau mengumumkan sesuatu, pemberitahuan, atau permakluman.
Ayat Contoh:
1. Presiden Amerika telah mengeluarkan pernyataan perang untuk menakluk Iram.
2. Satu kajian tentang bahan-bahan galian arkeologi dan juga pernyataan kepercayaan dan pengetahuan tentang bercucuk tanam

e. penyataan. Maksudnya ialah perbuatan menyatakan atau melahirkan.

Ayat contoh:
1. Kesusasteraan bukanlah lahir daripada kekosongan, tetapi merupakan penyataan daripada pergolakan dan perkembangan masyarakat.

f. penyata. Maksudnya ialah sesuatu yang dinyatakan secara rasmi, permakluman rasmi atau keterangan bertulis tentang sesuatu.

Ayat contoh:
1. Setelah mengetahui untung rugi perniagaan dalam sesuatu masa itu, maka perlulah disiapkan pula satu penyata.
2.Penyata kira-kira ialah keterangan yang menjelaskan kedudukan kira-kira sesuatu pertubuhan atau persatuan.

Monday, March 9, 2009

Pelajar dari Bumi Kenyalang?


Keenam-enam orang pelajar dari Kelas 5 Cengal ini menggayakan pakaian tradisional dari negeri Sarawak Bumi Kenyalang sempena perasmian Mesyuarat Agung PIBG kali ke-6 pada 28 Februari 2009 yang lalu.

Siri 137 - Kata “Oleh”

Kata oleh mempunyai maksud seperti yang berikut:
1. kata sendi untuk menunjukkan pelaku dalam ayat pasif
2. sebab; akibat, kerana
3. kepada; bagi, untuk
4. dengan

Ayat Contoh:
1. Daerah itu telah ditawan oleh musuh.
2. Orang itu mati oleh penyakit kepialu.
3. Tampak olehnya seorang tua berjalan-jalan
4. Bakul itu sarat oleh buah-buahan
5. Oleh tiada jalan lain hendak menyelamatkan dirinya, ia mencuba hendak terjun ke dalam air.
6. Pahlawan itu mati oleh kerisnya sendiri.
7. Tampak olehnya seorang tua berjalan di tengah-tengah sawahnya
8. Ia pun sepupu juga oleh tuan.
9. Ia anak yang satu-satunya oleh pak cik saya.
10.Pokok-pokok yang lebat oleh buah;
11. Dewan yang penuh sesak oleh orang ramai;
12.Oleh itu, …
13. Oleh sebab itu, …
14. Oleh yang demikian, …

Selain itu, kata `oleh’ menjadi kata dasar beberapa perkataan yang berikut:
a. beroleh-1. mendapat atau menerima sesuatu 2. boleh, dapat
b. memperoleh- mendapat atau mencapai sesuatu dengan usaha
c. perolehan-1 sesuatu yang diperoleh; hasil; pendapatan. 2. hal beroleh, pemerolehan hal atau cara memperoleh.

d. pemerolehan- perbuatan (usaha, kegiatan, dsb) memperoleh
e. Oleh-oleh- hadiah, cenderamata, tanda mata, buah tangan, sagu hati, pemberian, anugerah, kurniaan

Ayat Contoh :
1. Beliau telah beroleh anak lelaki
2. Kita telah memperoleh kemerdekaan tanpa menumpahkan darah setitik pun.
3. Beroleh selamat sempurnalah anakanda daripada sekalian bencana.
4. Sagu diperoleh daripada pokok rumbia.
5. Kanak-kanak memperoleh kemahiran sedikit demi sedikit.
6. Keuntungan yang diperolehnya berlipat ganda.
7. Pemerolehan padi tahun ini lebih baik daripada tahun lalu.

Sunday, March 8, 2009

Siri 136 – Lah, tah dan kah

Lah, tah dan kah ialah partikel yang terdapat dalam bahasa Melayu. Partikel ini terletak di akhir kata dan ejaanya pula dirapatkan.

Partikel `tah’ dan `kah’ digunakan sebagai penegas dalam ayat untuk menunjukkan bahagian tersebut dipentingkan dan juga untuk menunjukkan bahawa ayat tersebut ayat songsang. Ayat contoh:
1a. Apakah benda itu? [/]
1b. Apa benda itu? [x]
2a. Apatah dayaku untuk menolak permintaannya? [/]
2b. Apa dayaku untuk menolak permintaannya?[x]

Partikel `lah’ pula digunakan untuk mementingkan predikat dalam ayat seperti yang berikut:

a. ayat penyata songsang. Ayat contoh:
1. Beliaulah pemimpin pertubuhan ini.
2. Di situlah rumahnya.

b. ayat perintah aktif. Ayat contoh:
1. Berlarilah di sekeliling gelanggang ini.
2. Pergilah ke sana.

c. ayat perintah pasif. Ayat contoh:
1. Ambillah buku itu.
2. Tulislah karangan itu.

Kesimpulannya, partikel `kah’ dan `tah’ tidak mempunyai sebarang makna kecuali bertugas sebagai mementingkan predikat dalam ayat tanya. Partikel `lah’ pula bukan sahaja bertugas sebagai mementingkan predikat dalam ayat penyata, malah bertugas untuk melembutkan sesuatu perintah. Oleh sebab predikat dipentingkan, maka predikat tersebut mestilah diletakkan di bahagian depan atau menjadi ayat songsang.

Saturday, March 7, 2009

Isu PPSMI - Kenyataan PM amat memberangsangkan

PM mahu isu PPSMI diselesaikan segera
07/03/2009 5:54pm

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sain dan Metematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan isu yang lebih besar tercetus.
— BERNAMA

Siri 135 - Kau, ku, mu dan nya

Kau, ku, mu dan nya ialah kata ganti diri singkat (KGDS) atau dikenali juga sebagai klitik. Terdapat peraturan tertentu tentang penggunaan kata ganti tersebut.

KGDS `kau’ digunakan hanya di awal kata. Kedudukannya pula mestilah rapat dengan kata kerja pasif yang mengikutinya. Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat. Ayat contoh:
1a. Buku itu telah kaubaca.[/]
1b. Buku itu telah kau baca [x]
2a. Kau telah membaca buku itu. [x]
2b. Engkau telah membaca buku itu. [/]

KGDS `ku’ boleh digunakan di awal dan di akhir kata.Kata ini tidak boleh menjadi subjek ayat. Ayat contoh:
1a. Segala masalah akan kuselesaikan.[/]
1b. Segala masalah akan ku selesaikan.[x]
2a. Terimalah pemberian daripada ayahku ini. [/]
2b. Terimalah pemberian daripada ayah ku ini. [x]
3a. Ku akan melawat ke Jepun. [x]
3a. Aku akan melawat ke Jepun. [/]

KGDS `mu’ digunakan di akhir kata sahaja. Kata ini tidak boleh dijadikan subjek ayat dan kata ini tidak boleh dijarakkan dengan kata sebelumnya. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.

Ayat contoh:
1a. Saya akan meminta sahabatmu tunggu di sini. [/]
1b. Saya akan meminta sahabat mu tunggu di sini. [x].
2a.Terimalah doa daripada hambu-Mu yang kerdil ini.[/]
2a.Terimalah doa daripada hambamu yang kerdil ini. [x]

KGDS `nya’ digunakan di akhir kata sahaja.Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.

Ayat contoh:
1a. Dia memberitahunya tentang perkara itu.[/]
1b. Dia memberitahu nya tentang perkara itu. [x]
2a. Kita hendaklah berdoa kepada-Nya untuk memohon perlindungan. [/]
2b. Kita hendaklah berdoa kepadanya untuk memohon perlindungan.[x]


Akhir sekali, kesemua kata tersebut tidak boleh digandingkan supaya menjadi ianya, kukau, mukau, kumu, munya, nyamu, nyakau, dan sebagainya.

Bengkel Kertas BM PMR di SMKJ Confucian, KL




Pada hari ini, cikgu telah mengendalikan Bengkel Bahasa Melayu PMR di SMKJ Confucian. Semasa bengkel itu dijalankan, Nadeerah dan Aryna sempat YM dengan cikgu. Tahniah juga cikgu ucapkan kepada pelajar SMKJ Confocian kerana mereka kelihatan bersungguh-sungguh dan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memperoleh ilmu yang cikgu sampaikan.




Thursday, March 5, 2009

Siri 134 - Ini kerana, Banyak & Ramai

Soalan:
*Soal Jawab dengan Cikgu Ghalib 3*
1. Molek sungguh blog cikgu. Baru saya tahu *Hal ini demikian kerana* salah
pula. Ok, boleh cikgu terangkan mengapakah *ini kerana* tidak boleh digunakan?
Bagaiman pula kalau kita sebut *Hal ini berlaku kerana? *
*2. *Saya lihat ada buku yang tulis kata *ramai* hanya digunakan untuk suasana seperti sibuk, riuh-rendah, dll. kata ramai tidak boleh digunakan untuk orang.

Misalnya,
Sudirman mempunyai peminat yang ramai. (salah)
Sudirman mempunyai peminat yang banyak. (betul)

Dalam KD4, kata *ramai* juga mempunyai maksud *banyak*. Apa pandangan cikgu?

Drp:
Cikgu J

Jawaban:
Ungkapan “Ini kerana..” dan “Hal ini kerana…” sama sahaja. Ungkapan ini dibezakan dengan wujudnya pengguguran. Ungkapan ini salah kerana tidak mempunyai predikat. Lihat ayat yang di bawah ini:
(a) Ini kerana mahkamah masih belum membuat keputusan.

Ayat (a) di atas salah kerana ayat tersebut tidak lengkap kerana tiada predikat. Cuba gugurkan bahagian keterangan ” ...kerana mahkamah masih belum membuat keputusan”. Bahagian yang tinggal ialah ” Ini...”. Manakah predikatnya?
Cara penggunaan ungkapan ”Hal ini berlaku kerana...”.

(b) Keadaan politik di negeri Perak masih lagi tidak menentu. Hal ini berlaku kerana kesahihan pelantikan Menteri Besar masih belum dapat diputuskan oleh mahkamah.

Kamus Dewan tidak membezakan penggunaan kata `ramai’ dan `banyak’. Semua pengguna bahasa perlulah ingat bahawa Kamus Dewan merakamkan apa-apa sahaja yang dituturkan oleh pengguna termasuk bahasa yang baku dengan bahasa yang tidak baku. Maksud yang baku bagi perkataan `banyak’ ialah jumlah yang merujuk kepada bilangan yang melebihi satu atau seorang. Jumlahnya dapat diketahui jika dibilang atau dikira. Maksud yang baku bagi perkataan `ramai’ pula ialah jumlah yang melebihi seorang berdasarkan suasana. Jumlahnya pula tidak perlu diketahui.

Drp:
Cikgu Ghalib

Wednesday, March 4, 2009

Siri 133 - Perkembangan atau pengembangan

Untuk mengetahui perbezaan kedua-dua perkataan ini, sila dapatkan Majalah Pelita Bahasa Mac 2009.

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Apakah maksud peribahasa di atas? Maksudnya ialah setiap yang pergi sudah tentu ada penggantinya. Jika kita kehilangan seseorang, tidak perlulah kita menangisi pemergiannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kemungkinan penggantinya lebih hebat daripada orang yang berkenaan. Jadi, kita janganlah risau jika kita kehilangan seseorang. Oleh itu, kita mestilah bersedia jika kita kehilangan kawan, rakan atau sahabat. Jika anda terpaksa meninggalkan SEMESTI kerana menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh atau di sekolah menengah teknik, pergilah ke sana. Jangan bimbang, kami di SEMESTI sudah bersedia untuk menghadapi kehilangan anda. Kenapa? Jawabannya ialah patah tumbuh hilang berganti.

Monday, March 2, 2009

Skema Jawaban Kertas BM Tg. 5 Ujian Setara 1

Pelajar SEMESTI yang berminat untuk mengetahui jawaban bagi Kertas Bahasa Melayu Tg. 5 Ujian Setara 1, sila layari www.semestian.net/ghalib