Tuesday, February 9, 2010

Siri 336 - Kata sendi nama `dari’ atau `daripada’

Soalan:
Cikgu, saya selalu terkeliru tentang penggunaan kata sendi nama dari dan daripada. Di radio dan televisyen pula penggunaan kata sendi nama dari dan daripada sering bertukar ganti. Saya ingin bertanya kepada cikgu, iaitu adakah petua tertentu untuk membezakan penggunaan kata sendi nama tersebut?

Daripada,
Anis Sabirin, Layang-layang, Kluang.

Jawaban:


Pengguna bahasa Melayu sering mengalami kekeliruan tentang penggunaan kata sendi nama dari atau daripada dalam ayat. Mereka selalu menggunakan kata sendi nama dari di tempat daripada dan menggunakan kata sendi nama daripada di tempat dari. Sebagai contoh, lihatlah perbualan antara juruhebah radio dengan seorang pendengar seperti yang di bawah ini:

Juruhebah: Boleh saya tahu, siapa di sana?
Pendengar: Saya, Johari.
Juruhebah: Johari membuat panggilan daripada mana?
Pendengar: Dari Johor.
Juruhebah: Daripada mana?
Pendengar: Daripada Johor.

Perbualan seperti yang di atas sering kita temukan dalam media elektronik seperti radio dan televisyen. Kesalahan penggunaan bahasa tersebut, khususnya penggunaan kata sendi nama dari berpunca daripada ketidaktahuan pengguna tentang peraturan penggunaan kata sendi nama dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu, penggunaan kata sendi nama mempunyai peraturan yang tersendiri. Jika pengguna tidak menguasai peraturan tersebut, pengguna akan menggunakan kata sendi nama dengan cara yang tidak menepati peraturan tatabahasa bahasa Melayu. Sebenarnya, dalam bahasa Melayu terdapat banyak kata sendi nama yang mengelirukan pengguna seperti pada dan kepada, ke dan kepada, dan sebagainya.

Dalam hal ini, terdapat petua yang dapat membantu pengguna tentang penggunaan kata sendi nama dari dan daripada dengan gramatis. Petua itu ialah ATM dan KABOS. ATM ialah singkatan bagi Arah (A), Tempat (T) dan Masa (M). KABOS pula ialah singkatan bagi Keanggotaan (K), Abstrak (A), Benda (B), Orang (O), dan Sumber (S). Untuk menentukan penggunaan kata sendi nama tersebut gramatis, pengguna hanya perlu menentukan perkataan selepas kata sendi nama itu sama ada Arah, Tempat atau Masa seperti yang di bawah ini. Jika kata selepas kata sendi nama tersebut merupakan satu daripada jenis kata yang dinyatakan tadi, maka kata sendi nama yang sepatutnya digunakan ialah kata sendi nama dari.

Contoh:

Arah
1. Kereta api itu dari selatan.

Tempat
2. Pensyarah itu berasal dari Muar.

Masa
3. Kami akan berada di sini dari pagi hingga petang.

Jika pengguna hendak menentukan penggunaan kata sendi nama daripada dengan tepat pula, pengguna hendaklah menentukan perkataan selepas kata sendi nama daripada itu sama ada Keanggotaan, Abstrak , Benda, Orang, dan Sumber (KABOS). Jika perkataan itu merupakan salah satu jenis perkataan yang dinyatakan (KABOS), maka penggunaan kata sendi nama daripada tersebut tepat.

Contoh:
Keanggotaan
1. Pasukan itu terdiri daripada lima orang pemain yang berpengalaman.
Abstrak
2. Kejayaannya bermula daripada kesusahan yang dialami.
Bandingan
3. Pelajar lelaki lebih pandai daripada pelajar perempuan.
Orang
4. Dia selalu mendapat bantuan daripada abangnya.
Sumber
5. Maklumat itu diperoleh daripada Majalah Pelita Bahasa.

Kesimpulannya, untuk menentukan penggunaan kata sendi nama dari dan daripada dengan betul, pengguna boleh menggunakan petua sama ada ATM atau KABOS. Namun begitu, jika pengguna bahasa sudah menguasai petua tersebut, pengguna hanya perlu menggunakan ATM sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana jika perkataan yang hadir selepas kata sendi nama tersebut bukan kata nama Arah, Tempat atau Masa, kata sendi nama yang sepatutnya digunakan ialah kata sendi nama daripada. Penggunaan petua ini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah pengguna bahasa tentang penggunaan kata sendi nama dari atau daripada .

Monday, February 8, 2010

Siri 335- di kalangan atau dalam kalangan

Soalan:
Pada masa dahulu, pengguna bahasa Melayu menggunakan frasa sendi nama `di kalangan’. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini frasa sendi nama `dalam kalangan’ pula yang digunakan. Bolehkah cikgu berikan alasan yang kukuh tentang perubahan ini?

Daripada:
Nornikmah, Pontian.

Jawaban:
Bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik. Bahasa yang dinamik ialah bahasa yang sentiasa berkembang. Dewasa ini, bahasa Melayu banyak mengalami perkembangan sama ada dari segi kosa kata atau istilah, dan juga penggunaan katanya. Perkembangan kosa kata dan istilah berlaku kerana dunia menghadapi ledakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) dan era globalisasi. Namun, perkembangan dari segi penggunaan katanya yang melibatkan tatabahasa bahasa Melayu banyak menimbulkan persoalan pengguna bahasa Melayu.

Satu daripada perkembangan yang terkini tentang penggunaan kata dalam bahasa Melayu ialah penggunaan frasa sendi nama dalam kalangan yang menggantikan frasa sendi nama di kalangan seperti yang tertera dalam ayat-ayat di bawah ini:

1. Gejala lari dari rumah yang berlaku di kalangan remaja sebenarnya berpunca daripada pengaruh rakan sebaya.
2. Gejala lari dari rumah yang berlaku dalam kalangan remaja sebenarnya berpunca daripada pengaruh rakan sebaya.


Persoalan yang kerap ditimbulkan oleh kalangan pengguna bahasa ialah mengapakah kita menggunakan frasa sendi nama dalam kalangan, sedangkan suatu ketika dahulu kita menggunakan frasa sendi nama di kalangan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, marilah kita meneliti maksud kalangan. Kalangan, seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan, bermaksud 1. lingkungan, golongan 2. lingkaran , gelanggang.

Makna yang paling tepat dalam konteks yang dibicarakan ini ialah lingkungan. Dengan berdasarkan fungsi kata sendi nama di yang menunjukkan tempat, jelaslah bahawa frasa sendi nama di kalangan tidak tepat kerana `kalangan’ bukan tempat.

Penggunaan frasa sendi dalam kalangan pula tidak merujuk tempat. Penggunaan frasa sendi dalam kalangan lebih tepat untuk merujuk maksud lingkungan. Hal ini bermakna frasa sendi nama dalam kalangan pelajar bermaksud dalam lingkungan pelajar. Jika dibuat perbandingan, didapati bahawa frasa sendi dalam kalangan lebih tepat daripada frasa sendi di kalangan. Lihatlah perbandingannya di bawah ini:

di kalangan pelajar dalam kalangan pelajar
di lingkungan pelajar dalam lingkungan pelajar.

Kesimpulannya, penggunaan frasa sendi nama dalam kalangan lebih tepat berbanding dengan frasa sendi nama di kalangan. Ketepatan penggunaan frasa sendi nama dalam kalangan dapat dilihat dengan jelas dari segi makna kalangan dan rumus penggunaan kata sendi nama di yang menunjukkan tempat. Oleh hal yang demikian, penggunaan frasa sendi nama dalam kalangan yang menggantikan frasa sendi nama di kalangan merupakan satu proses pemantapan bahasa Melayu.

Betulkanlah yang biasa, dan biasakanlah yang betul.

Sunday, February 7, 2010

Siri 334 – Frasa

Soalan:
Cikgu, apakah maksud frasa? Bagaimanakah kita dapat mengenal frasa?

Daripada:
Shamsina, Miri

Jawaban:
Untuk menguasai bahasa, para pelajar mestilah mengenal frasa. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa? Mengapakah anda mesti mengenal frasa? Frasa ialah binaan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu perkataan yang berpotensi untuk menjadi unit yang lebih besar. Dalam bahasa Melayu, terdapat empat jenis frasa, iaitu frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FP), dan frasa sendi (FS). Para pelajar perlu mengenal dan menguasai frasa supaya ayat-ayat yang dibina gramatis dan mengikut seperti pola yang di bawah ini:


Subjek Predikat
1. FN FN
2. FN FK
3. FN FA
4. FN FS


Apabila pelajar menguasai frasa, selain pelajar mengetahui ayat yang dibina gramatis, para pelajar dapat mengenal pasti jenis dan ragam ayat. Oleh itu, para pelajar mestilah dapat membezakan frasa kerja, frasa nama, frasa adjektif, dan frasa sendi. Sebelum anda mengenal frasa dengan lebih mendalam, cuba kenal pasti jenis-jenis frasa di bawah:

1. Ayah Ali
2. pegawai sukan
3. sedang tidur
4. menendang bola
5. menjadi berang
6. menangis
7. sangat tegas
8. di Taman Seri Serdang

Bagaimanakah caranya untuk anda mengenal jenis-jenis frasa di atas? Untuk mengenal jenis-jenis frasa di atas, anda mestilah mengenal jenis kata, iaitu sama ada sesuatu kata itu kata nama (KN), kata kerja (KK), kata adjektif (KA) , kata sendi (KS) atau kata tugas (KT). Dalam bahasa Melayu, jenis kata yang menjadi kepala sesuatu frasa akan menentukan jenis frasa tersebut. Namun demikian, bagi kata tugas kecuali kata sendi, kata-kata tersebut seperti kata hubung, kata pemeri, kata bantu, kata penguat, dan sebagainya tidak boleh dijadikan kepala kata sebagai penentu jenis frasa.

Ayah Ali dalam frasa (1) di atas merupakan FN kerana kepala frasa tersebut, iaitu Ayah merupakan kata nama. Pegawai sukan dalam frasa (2) juga merupakan frasa nama kerana kepala frasa, iaitu pegawai merupakan kata nama. Sedang tidur dalam frasa (3) pula ialah FK. Hal ini demikian kerana kata bantu sedang tidak boleh menjadi penentu jenis frasa. Dalam frasa ini, tidur dianggap sebagai kepala frasa. Oleh sebab tidur merupakan kata kerja, maka frasa sedang tidur merupakan FK. Menendang bola, menjadi, dan menangis dalam frasa (4), (5), dan (6) pula ialah frasa kerja. Frasa-frasa ini dikatakan frasa kerja kerana kepala frasa tersebut ialah kata kerja. Secara lebih terperinci, menendang bola ialah frasa kerja transitif, frasa menjadi berang dan menangis ialah frasa kerja tak transitif. Sangat tegas dalam frasa (7) pula ialah frasa adjektif. Frasa ini dikatakan FA kerana kepala frasa tersebut,iaitu tegas ialah kata adjektif. Kata sangat tidak boleh menjadi kepala frasa kerana kata tersebut merupakan KT. Frasa di Taman Seri Serdang pula ialah FS. Hal ini demikian kerana kata yang menjadi kepala frasa tersebut ialah kata sendi nama.

Oleh itu, apabila para pelajar mengenal frasa, para pelajar akan dapat mengetahui sama ada sesuatu ayat itu menepati pola ayat bahasa Melayu atau tidak. Lihat beberapa ayat contoh di bawah ini.

1. Berikut ialah butir-butir mesyuarat tersebut.
2. Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami.
3. Di sekolah saya mengalami masalah buta huruf.
4. Melalui pendidikan, diharapkan dapat membentuk insan yang mulia.

Pelajar yang menguasai aspek frasa akan dapat mengesan kesalahan ayat-ayat di atas yang tidak gramatis kerana tidak menepati pola ayat dalam bahasa Melayu. Ayat 1. di atas berpola FK + FN, ayat 2. berpola FS + FK, ayat 3 berpola FS + FK, dan ayat 4 berpola FK + FK. Ayat-ayat tersebut di atas akan menjadi gramatis sekiranya frasa-frasa tersebut ditukarkan atau dijadikan atau diwujudkan frasa nama. Lihat-ayat-ayat tersebut di bawah ini:

1a. Yang berikut ialah butir-butir mesyuarat tersebut.
2a. Kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami.
3a. Pelajar di sekolah saya mengalami masalah buta huruf.
4a. Melalui pendidikan, diharapkan kita dapat membentuk insan yang mulia.

Ayat-ayat 1a. hingga 4a. menjadi gramatis apabila frasa-frasa nama diwujudkan dalam ayat-ayat tersebut. Kebanyakan ayat tergantung yang dihasilkan oleh pelajar sebenarnya berpunca daripada masalah di atas, iaitu ayat-ayat yang dibina tidak menepati pola ayat bahasa Melayu seperti FN + FN, FN + FK, FN + FA, dan FN + FS.

Kesimpulannya, para pelajar mestilah berusaha untuk mengenal frasa dalam bahasa Melayu. Sebelum mengenal frasa, pelajar mestilah terlebih dahulu mengenal kata. Apabila pelajar mengenal kata dan frasa, barulah pelajar dapat membina ayat yang lengkap dari segi subjek dan predikat, iaitu sekali gus pelajar dapat menghindarkan diri daripada membina ayat-ayat bahasa Melayu yang tergantung. Ayat-ayat yang tergantung dalam penulisan karangan, rumusan, dan sebagainya akan menjejaskan peluang pelajar untuk mendapat markah yang baik.

Saturday, February 6, 2010

Siri 333 – Klausa

Soalan:
Apakah maksud klausa? Bagaimanakah kita dapat mengenal klausa dalam ayat?
Daripada:

Saiful, Bukit Mertajam.

Jawaban:
Dalam bahasa Melayu, pelajar lebih mudah mengenal kata dan frasa berbanding dengan klausa. Mereka keliru antara frasa dan klausa. Bagi pelajar yang menguasai frasa, mereka lebih mudah untuk memahami klausa. Apakah maksud klausa? Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat dan mempunyai potensi untuk menjadi ayat. Hal ini bermaksud kebiasaanya ayat tunggal terdiri daripada satu klausa. Dalam bahasa Melayu, ayat majmuk pancangan keterangan biasanya terdiri daripada beberapa klausa. Lihat contoh ayat yang di bawah ini:

1. Muhammad Hazim berjaya kerana dia rajin.

Dalam ayat (1) di atas, ayat tersebut mempunyai dua klausa. Klausa yang pertama ialah Muhammad Hazim berjaya. Dalam klausa tersebut `Muhammad Hazim' ialah subjek yang terdiri daripada frasa nama, manakala `berjaya' ialah predikat yang terdiri daripada frasa kerja. Klausa yang kedua ialah `kerana dia rajin'. Dalam klausa ini, `dia' merupakan subjek yang terdiri daripada frasa nama, manakala `rajin' ialah predikat yang terdiri daripada frasa adjektif. Klausa yang pertama, iaitu `Muhammad Hazim berjaya' dikatakan sebagai klausa bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana klausa itu boleh berdiri dengan sendiri. Klausa `kerana dia rajin' merupakan klausa tak bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana klausa tersebut terikat oleh kata keterangan sebab, iaitu kerana. Klausa tak bebas ini tidak boleh berdiri dengan sendiri. Dalam ayat tersebut di atas tadi, klausa tak bebas berfungsi sebagai keterangan predikat dalam ayat majmuk pancangan keterangan. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada dua ayat tunggal yang berikut:

1a. Muhammad Hazim berjaya.
1b. Muhammad Hazim rajin.

Ayat (1a) dan (1b) di atas apabila dicantumkan dengan kata hubung pancangan keterangan sebab, iaitu kerana, maka ayat yang terbentuk ialah:

1. Muhammad Hazim berjaya kerana dia rajin.

Ayat di atas sebenarnya sering ditulis seperti yang berikut selepas mengalami transformasi pengguguran subjek.

2. Muhammad Hazim berjaya kerana rajin.

Dalam ayat (2) di atas, klausa tak bebas `kerana dia rajin' telah menjadi kerana rajin. Hal ini dikatakan demikian kerana pelaku dalam sesuatu bahagian ayat yang pertama tidak perlu diulang dalam bahagian ayat yang kedua.

Mengapakah pelajar-pelajar perlu mengenal klausa? Pelajar perlu mengenal klausa supaya pelajar mudah membina ayat majmuk terutamanya ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan, dan ayat majmuk campuran. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat majmuk terdiri daripada beberapa klausa. Lihat ayat yang di bawah ini:

3. Husna dan Sufia yang masih belum bersekolah sudah pandai membaca buku kerana mereka diajar oleh ibu mereka..

Ayat 3 di atas sebenarnya terdiri daripada dua klausa, iaitu:

a. Husna dan Sufia sudah pandai membaca buku.
b. Kerana mereka diajar oleh ibu mereka


Dalam ayat 3 di atas tadi, klausa (a) merupakan klausa bebas, manakala klausa (b) merupakan klausa tak bebas. Klausa (b) dikatakan sebagai klausa tak bebas kerana klausa tersebut terikat oleh kata hubung pancangan keterangan sebab, iaitu kerana. Dalam ayat tersebut, frasa `yang masih belum bersekolah' ialah frasa nama yang bertugas sebagai penerang.

Sekarang, cuba anda perhatikan ayat yang di bawah ini:

4. Hal ini kerana masalah disiplin sudah tidak terkawal lagi.

Jika anda sudah menguasai klausa, anda sudah tentu dapat menyelesaikan masalah yang timbul dalam ayat di atas. Perkara pertama yang harus anda ketahui ialah ayat tersebut terdiri daripada berapa klausa? Ingat! Sesuatu ayat mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya satu klausa. Dan, setiap klausa sama ada klausa bebas dan klausa tak bebas mestilah terdiri daripada bahagian subjek dan predikat.

Dalam ayat (4) di atas, bahagian yang pertama ialah `Hal ini' dan bahagian kedua ialah `kerana masalah disiplin sudah tidak terkawal lagi'. Bahagian yang pertama didapati tidak lengkap kerana bahagian tersebut bukan klausa. Bahagian tersebut ialah frasa nama. Bahagian kedua pula ialah klausa tak bebas kerana klausa tersebut terikat oleh kata hubung pancangan keterangan sebab, iaitu kerana. Oleh hal yang demikian, ayat (4) tersebut tidak gramatis. Ayat tersebut gramatis sekiranya bahagian pertama tersebut dilengkapkan dengan bahagian predikat seperti yang di bawah ini:

4a. Hal ini berlaku (demikian) kerana masalah disiplin sudah tidak terkawal lagi.

Dalam ayat (4a) di atas, klausa bebas terdiri daripada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat. `Hal ini' ialah subjek dan `berlaku (demikian)' ialah predikat. Dalam klausa tak bebas pula, bahagian subjek ialah `masalah disiplin', bahagian predikat ialah `sudah tidak terkawal lagi'.

Cuba kita perhatikan pula ayat (5) di bawah ini:

5. Dalam zaman sains dan teknologi ini, walaupun negara kita maju dalam berbagai-bagai perusahaan tinggi, tetapi industri kampung belum mencapai tahap yang memuaskan.

Dalam ayat (5) di atas, ayat tersebut kelihatan gramatis. Ayat tersebut sebenarnya tidak gramatis kerana tidak mempunyai klausa bebas. Dalam ayat majmuk pancangan keterangan yang membawa maksud pertentangan, ayat tersebut mestilah sekurang-kurangnya mempunyai satu klausa bebas. Ayat (5) di atas sebenarnya terdiri daripada 2 klausa tak bebas, iaitu

i. walaupun negara kita maju dalam berbagai-bagai perusahaan tinggi
ii. tetapi industri kampung belum mencapai tahap yang memuaskan.

Frasa `zaman sains dan teknologi ini' pula dan `yang memuaskan' merupakan frasa nama yang bertugas sebagai penerang.


Selain itu, pelajar perlu mengenal klausa kerana klausa juga berfungsi sebagai objek, pelengkap dan penerang dalam ayat majmuk pancangan komplemen. Lihat ayat contoh di bawah ini:

6. Hajar Husna menyatakan bahawa dia tidak akan hadir esok.
7. Saya yakin bahawa Hasif akan berjaya.
8. Saya mendapat maklumat bahawa mereka akan menyerang kita.

Dalam ayat (6) di atas, `bahawa dia tidak akan hadir esok' ialah klausa komplemen yang bertugas sebagai objek. Dalam klausa tersebut, dia ialah subjek, manakala `tidak akan hadir esok' ialah predikat. Dalam ayat (7) pula, `bahawa Hasif akan berjaya' merupakan klausa komplemen yang bertugas sebagai pelengkap. Dalam klausa tersebut, `Hasif' ialah subjek, manakala `akan berjaya' ialah predikat. Seterusnya, dalam ayat (8) pula, `bahawa mereka akan menyerang kita' ialah klausa komplemen yang bertugas sebagai penerang. Dalam ayat tersebut, `mereka' ialah subjek, manakala `akan menyerang kita' ialah predikat.


Kesimpulannya, pelajar perlu menguasai klausa. Dengan menguasai klausa, pelajar akan dapat mengenal pasti sesuatu ayat itu gramatis atau tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana sesuatu ayat itu seolah-olahnya kelihatan gramatis, tetapi sebenarnya ayat-ayat tersebut tidak gramatis. Apabila kita menguasai klausa, barulah kita mengetahui ayat-ayat tersebut sama ada lengkap dari segi subjek dan predikatnya atau tidak. Sebenarnya, ayat yang tidak gramatis seperti ayat (4) dan (5) tadi telah digunakan secara leluasa oleh pengguna bahasa sebagai ayat yang betul. Sebagai akibatnya, sesuatu ayat yang salah itu telah dianggab sebagai ayat yang betul. Oleh itu, kita perlulah berubah. Betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul.

Friday, February 5, 2010

Siri 332 – Ahli panel, panelis, penalis

Soalan:
Assalamualaikum cikgu.

Saya seorang pelajar perubatan. Saya mahu bertanya tentang beberapa soalan yang di bawah ini:
1.Antara perkataan yang berikut, perkataan manakah yang betul dan tepat:
a. Ahli panel.
b. Panelis.
c. Penalis.

2. Apakah sebutan yang betul tentang perkataan `panel’ dalam frasa 'ahli panel,? 'Ahli PA-nel' (PA seperti sebutan untuk perkataan 'paku') ataupun 'Ahli PE-nel'?

Saya berharap agar cikgu dapat merungkaikan kekusutan ini.

Sekian, wassalam.

Yang benar,
W ASHRAF
Republik Arab Mesir.

Jawaban:
Wsalam. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi mengemukakan soalan kepada saya.

1. Perkataan yang betul dan tepat ialah ahli panel.

2. Sebutan yang tepat ialah panel, iaitu pa seperti dalam sebutan paku, dan `nel’ seperti `nail’ dalam sebutan Inggeris. [panel /panĂ©l/]

Thursday, February 4, 2010

Siri 331 – Frasa Nama yang gramatis

Soalan:

Cikgu, yang manakah antara yang berikut gramatis?

(i) pertandingan nyanyian atau pertandingan menyanyi
(ii) budaya lepak atau budaya melepak
(iii) semangat kerjasama atau semangat bekerjasama
(iv) semangat juang atau semangat perjuangan

Terima kasih.

Drp: Chow

Jawaban:
(i)Pertandingan nyanyian atau pertandingan bernyanyi

Nyanyian bermaksud gubahan atau ciptaan muzik yang dilagukan dengn suara; bunyi atau suara yang berirama dan berlagu. Menyanyi bermaksud melagukan nyanyi atau berlagu. Dengan berdasarkan kedua-dua makna perkataan ini, frasa nama yang tepat ialah pertandingan nyanyian, bukan pertandingan menyanyi. Maksud frasa `pertandingan menyanyi’ ialah pertandingan seolah-olah seperti manusia yang menyanyi, iaitu `Mereka menyanyi’ atau `saya menyanyi’.

(ii)Budaya lepak atau budaya melepak

Frasa nama yang tepat ialah budaya lepak. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, budaya lepak bermaksud amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah. Ayat contoh:

1.Budaya lepak yang pada peringkat awalnya dilakukan oleh kutu-kutu jalan telah dikuti oleh remaja

Perkataan melepak pula bermaksud berbuat sesuatu yang tidak mendatangkan faedah seperti duduk-duduk di kompleks beli-belah tanpa tujuan, berbual-bual kosong dan sebagainya.Ayat contoh:

2.Pada prinsipnya, remaja yang suka melepak itu merupakan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

(iii)Semangat kerjasama atau semangat bekerjasama

Kerjasama bermaksud kerja (usaha dsb) bersama-sama atau saling membantu (antara dua atau beberapa pihak). Bekerja (berbuat sesuatu)pula bermaksud bersama-sama atau dengan cara saling membantu (menyumbang dsb). Dengan berdasarkan maksud kedua-dua perkataan itu, frasa nama yang tepat ialah semangat kerjasama. Dari segi maksud, frasa `semangat bekerjasama’ seolah-olah sepotong ayat yang sama dengan maksud ayat `Mereka bekerjasama’ atau `kami bekerjasama’.

Begitu juga halnya dengan frasa `syarikat kerjasama’ atau `syarikat bekerjasama’. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, frasa `syarikat kerjasama’ ialah syarikat yang dikendalikan bersama-sama oleh ahli¬-ahlinya (dengan cara saling membantu, menyum¬bang, dsb) untuk faedah bersama. Jika frasa `syarikat bekerjasama’ digunakan, hal ini bermakna syarikat tersebut seperti manusia yang dapat melakukan kerja secara bersama-sama seperti ayat `Mereka bekerjasama’ atau `kami bekerjasama’

(iv)semangat juang atau semangat perjuangan

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, semangat juang bermaksud semangat untuk berjuang demi mencapai, mendapatkan atau memperoleh sesuatu (kejayaan, kemenangan dsb):

Ayat contoh:
1. Se¬mangat juang yang tinggi dapat membantu meng¬atasi halangan itu
Perkataan `perjuangan’ pula bermaksud perihal berjuang untuk merebut (mencapai, mempertahankan) sesuatu.

Ayat contoh:
2. Kita semestinya tidak lupa akan pemimpin terdahulu dalam perjuangan untuk memerdekakan negara daripada penjajah.

Kesimpulannya, frasa nama yang tepat ialah semangat juang.
.

Wednesday, February 3, 2010

Siri 330 - Gejala atau simpton

Soalan:
Salam sejahtera

Dewasa ini, kita dapati perkataan 'gejala' digabungkan dengan perkataan-perkataan yang berunsur masalah. Contohnya, 'gejala rasuah', 'gejala dadah', 'gejala merokok' dsb.

Ayat contoh:
"Sebagai contoh gejala ponteng sekolah ditangani bermula dari maklumat amaran awal hinggalah kepada sifar ponteng."

Menurut KP, gejala bermakna: 1. sesuatu hal yg menjadi tanda akan terjadinya sesuatu; tanda-tanda akan berlakunya sesuatu: Sekarang ini terdapat gejala yg menunjukkan perpecahan dlm pimpinan parti. 2. keadaan yg menjadi tanda-tanda penyakit: gejala demam campak ialah panas badan dan tumbuh bintil-bintil merah pd kulit.

Soalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan frasa "gejala sosial" di dalam ayat "Gejala sosial kini semakin meruncing dan pihak berkuasa mestilah menggembeleng tenaga untuk mengatasi keadaan membimbangkan ini."?

Saya berharap agar cik gu dapat membantu saya dalam soal ini.

Terima Kasih.
Daripada:

Mustafa Mohamed
Mustafa Mohamed" musmd@ymail.com
Jawaban:

Jawaban:
Maksud perkataan `gejala’ ialah tanda, petanda, atau alamat yang akan menyebabkan terjadinya sesuatu. Ayat contoh:

1.Pergaulan bebas antara kaum remaja boleh menimbulkan gejala sosial yang tidak baik.

2. Gejala keburukan akhlak dalam kalangan remaja sudah mula dapat dilihat.

Ulasan:
Dalam kedua-dua ayat (1) dan (2) di atas, perkataan `gejala’ memang tepat digunakan. Dari segi makna, gejala yang berlaku akan menyebabkan kejadian yang buruk berlaku seperti zina, bersekedudukan tanpa nikah, dan sebagainya.

Maksud perkataan `gejala’ yang kedua ialah keadaan yang menjadi tanda sesuatu penyakit atau symton. Ayat contoh:

3.Gejala demam campak ialah keadaan suhu badan yang meningkat dan terdapat bintil-bintil merah pada kulit.

Kesimpulannya, perkataan gejala mempunyai dua maksud. Maksud pertama ialah tanda-tanda yang akan menimbulkan perkara yang buruk akan berlaku. Selain itu, gejala bermaksud tentang tanda-tanda sesuatu penyakit yang menyerang seseorang.

Tuesday, February 2, 2010

Minda Pelajar Siri 4 - 2 Februari 2010

Monday, February 1, 2010

Siri 329 – Kompaun

Soalan:
Cikgu, apakah maksud kompaun?
Drp:
SMS 017xxx5270

Jawaban:
Kompauan seperti yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi Kempat ialah denda yang dibayar dengan tidak perlu melalui pendakwaan di mahkamah.Ayat contoh:

1. Dia dikenakan kompaun sebanyak RM75.00 kerana kesalahan meletak kereta.

Sunday, January 31, 2010

Siri 328 - Bergantung pada atau bergantung kepada

Soalan:
Tuan,
Frasa manakah yang betul? Bergantung pada atau bergantung kepada?

Daripada:
Yusuf,
Tanjung Bidara, Melaka.

Jawaban:
Jika kita meneliti tulisan-tulisan sama ada dalam tulisan ilmiah atau bukan ilmiah, didapati bahawa pengguna menggunakan kata sendi nama pada dan kepada secara silih berganti. Ada pengguna yang menggunakan frasa kerja tak transitif bergantung kepada dan yang lainnya pula menggunakan frasa bergantung pada. Persoalannya, frasa manakah yang tepat dan menepati penggunaan kata sendi nama yang betul. Untuk mengetahui perkara ini dengan lebih jelas, marilah kita meneliti fungsi atau penggunaan kedua-dua kata sendi nama tersebut.

Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Lihat contoh-contoh yang dikemukakan di bawah ini:

• Menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Contoh:

1(a) Sila kembalikan borang itu kepada kerani pejabat.(gramatis)
1(b) Sila kembalikan borang itu pada kerani pejabat.(tidak gramatis)

• Menyatakan pecahan. Contoh:

2(a) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. (gramatis)
2(b) Peserta bengkel dibahagikan pada dua kumpulan. (tidak gramatis)

• Menyatakan perubahan keadaan. Contoh:

3(a) Suhu badannya meningkat kepada 39 darjah Celsius.(gramatis)
3(b) Suhu badannya meningkat pada 39 darjah Celsius.(tidak gramatis)

Kata sendi nama pada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia atau haiwan) dalam beberapa situasi tertentu seperti yang berikut:

• Menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa. Contohnya:

4(a) Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi.(gramatis)
4(b) Bas kami bertolak kepada pukul tujuh pagi.(tidak gramatis)

• Kata sendi nama pada apabila didahului perkataan ada, mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk kepada manusia dan haiwan. Contohnya.

5(a) Wang itu ada pada ibu. (gramatis)
5(b) Wang itu ada kepada ibu (tidak gramatis)

• sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Contohnya:

6. Bagi acara palang, ahli gimnastik itu perlu berpaut pada palang besi dengan kuatnya.
7. Layang-layang itu tersangkut pada tiang.

Sekarang, perhatikan beberapa ayat yang menggunakan kata sendi nama pada dan kepada di bawah ini:

8(a)Penduduk kampung itu bergantung pada sungai tersebut untuk air minuman.
8 (b) Penduduk kampung itu bergantung kepada sungai tersebut untuk air minuman.

9 (a)Masa hadapannya bergantung pada keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan esok.
9 (b) Masa hadapannya bergantung kepada keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan esok.

10(a)Mereka bergantung pada orang tua itu untuk memandu mereka keluar dari hutan belantara itu.
10(b)Mereka bergantung kepada orang tua itu untuk memandu mereka keluar dari hutan belantara itu.

11(a)Manusia yang hanya bergantung pada nasib tanpa menggerakkan kudrat mereka tidak mungkin maju dalam kehidupan.
11(b)Manusia yang hanya bergantung kepada nasib tanpa menggerakkan kudrat mereka tidak mungkin maju dalam kehidupan.

12(a)Ayat tersebut dapat membawa dua makna bergantung pada analisis struktur unsurnya.
12(b)Ayat tersebut dapat membawa dua makna bergantung kepada analisis struktur unsurnya.

13(a)Hal ini bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tersebut.
13(b)Hal ini bergantung kepada maksud yang terkandung dalam ayat tersebut.


Kesimpulannya, fungsi kata sendi nama pada dan kepada hendaklah difahami oleh pengguna bahasa. Hal ini penting kerana kata sendi yang terdapat dalam bahasa Melayu mempunyai fungsi dan makna tertentu dalam ayat. Kata sendi nama `pada’ menunjukkan sasaran, manakala kata sendi nama kepada menunjukkan `sasaran’.

Friday, January 29, 2010

Siri 327 – Kuasa beli atau kuasa membeli

Soalan:
Assalamu'alaikum, Cikgu Abd. Ghalib Yunus.

Soalan saya berkaitan penggunaan frasa 'kuasa beli' dengan 'kuasa membeli'.

Apakah yang lebih tepat antara kedua-duanya?

Contoh ayat:
1. Kuasa membeli pengguna semaki susut semenjak kenaikan harga barang-barang yang tidak menentu di pasaran.

2. Kuasa beli pengguna semaki susut semenjak kenaikan harga barang-barang yang tidak menentu di pasaran.


Mohon penjelasan tuan.


Sekian, terima kasih.


Yang benar,

Mohamad Hanafi Isa.
http://naimisa.esasterawan.net/

Jawaban:
Untuk menyelesaikan masalah ini, kita hendaklah menggunakan teknik analogy, iaitu melihat bentuk lain yang hampir serupa dengan frasa ini seperti yang di bawah ini:

Janti temu atau janji bertemu

Pakai buang atau pakai membuang

Kad prabayar atau kad pramembayar

Jual beli atau jual membeli.

Dengan berdasarkan beberapa analogi di atas, frasa yang tepat ialah kuasa beli.

Thursday, January 28, 2010

Siri 326 – Ayat Majmuk keterangan harapan

Soalan:Assalamulaikum dan Salam 1Malaysia cikgu.

Adakah kedua-dua ayat di bawah ini betul? Jika ayat tersebut betul, saya mohon cikgu dapat menganalisis ayat tersebut lebih lanjut.

1. Saya berharap cita-cita itu akan tercapai.
2. Saya berharap akan tercapai cita-cita itu.

Daripada,

ISMAIL DRAHMAN

Jawaban:
Ayat (1) tidak tepat. Oleh sebab ayat tersebut merupakan ayat majmuk keterangan harapan, kata hubung keterangan harapan `agar’ perlu dimasukkan. Selain itu, kata ganti nama mestilah hadir selepas perkataan `cita-cita’. Lihat ayat yang sepatutnya di bawah ini:

1(a) Saya berharap agar cita-cita mereka itu akan tercapai.

Ayat (2) pula merupakan ayat yang telah mengalami perubahan susunan predikat. Jika ayat tersebut seperti yang di bawah ini, maka ayat tersebut betul.

2(a) Saya berharap agar akan tercapailah cita-cita mereka itu.

Wednesday, January 27, 2010

Siri 325 – berjaja, menjaja dan menjajakan

Soalan:
Apakah perbezaan antara perkataan berjaja, menjaja dan menjajakan? Harap cikgu dapat menjelaskannya.
Drp:
Suraya,
Taman Mulia.

Jawaban:
Perkataan `berjaja’ bermaksud mencari rezeki (nafkah, pendapatan, dsb) dengan membawa barang dagangan berkeliling untuk dijual. Ayat contoh:

1. Yahya didenda kerana berjaja tanpa lessen.

Perkataan berjaja juga bermaksud berjual. Ayat contoh:

2. Dia dilarang berjaja di situ.
Perkataan `menjaja’ pula tidak wujud dalam bahasa Melayu. Banyak pengguna yang menggunakan perkataan itu dalam konteks perbualan harian atau dalam suasana tidak baku.

Perkataan `menjajakan’ pula bermaksud menjual barang dagangan dengan membawanya berkeliling. Ayat contoh:

3.Rriuh-rendah bunyi orang menjajakan barang dagangan masing-masing.

Perkataan `menjajakan’ juga bermaksud kiasan, iaitu menyebarkan atau menyatakan sesuatu cerita ke sana ke sini atau di merata-rata. Ayat contoh:

4. Menteri Pendidikan menasihati rakyat supaya tidak terperangkap dengan fikiran sempit golongan yang menjajakan pendapat mereka sebagai sesuatu yang mutlak.

Tuesday, January 26, 2010

Minda Pelajar Siri 3

Siri 324 - Mengenal Kata

Soalan:
Apakah caranya untuk seseorang itu mengenal kata?

Daripada:
Ajmal, SGB Masjid Tanah.

Jawaban:
Walaupun sudah mempelajari bahasa Melayu selama hampir sebelas tahun bermula dari tahap satu hinggalah tingkatan lima, masih banyak pelajar yang tidak mengenal kata atau membezakan jenis kata. Sebagai akibatnya, pelajar tidak mengenal frasa dan gagal menguasai ayat dengan baik.

Kebanyakan pelajar menguasai penggunaan bahasa dengan baik tetapi tidak menguasai jenis kata, frasa, klausa, dan ayat. Dalam mata pelajaran bahasa Melayu, pelajar bukan sahaja dikehendaki menguasai penggunaan bahasa, tetapi juga mereka mestilah mengetahui aspek-aspek penting bahasa terutamanya dari segi tatabahasa. Oleh itu, perkara yang paling asas dalam perkara ini ialah mengenal kata.

Dalam bahasa Melayu, terdapat empat jenis kata yang paling asas, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas. Kebanyakan pelajar dapat mengenal kata-kata tersebut secara umum. Mereka tidak dapat membuktikan sesuatu jenis kata itu secara saintifik sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif, atau kata tugas. Terdapat beberapa petua yang dapat kita gunakan untuk mengenal dan membezakan jenis kata.

Apakah yang dimaksudkan kata nama? Bagaimanakah kita dapat mengenal kata nama? Kata nama ialah kata yang menamakan orang, tempat atau benda. Satu daripada cara untuk mengenal pasti sama ada sesuatu kata itu ialah kata nama atau bukan kata nama, ujilah kata tersebut dengan meletakkan kata bilangan di hadapannya.

Contoh: Lima buah rumah, lima orang guru, lima buah buku

Tegasnya, rumah, guru dan buku merupakan kata nama kerana kata ini boleh disertai oleh kata bilangan.

Selain itu, kita juga boleh menguji perkataan tersebut dengan meletakkan kata tersebut sebelum kata ganti nama tunjuk `itu’ atau `ini’ seperti `rumah itu’, `guru itu’ atau `buku itu’ dan juga selepas kata kerja transitif seperti membeli rumah, melatih guru, dan membeli buku.


Kata kerja pula ialah kata yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Satu daripada cara untuk mengenal kata kerja ialah kita meletakkan kata bantu untuk mendampinginya. Contoh:

Sedang tidur, akan pergi, belum makan.


Kata adjektif ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan. Satu daripada cara untuk mengenal kata adjektif ialah kita meletakkan kata penguat untuk mendampinginya.

Contoh: sangat cantik, amat sedih, sungguh hebat.

Golongan kata yang seterusnya ialah kata tugas. Kata tugas berbeza dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tugas tidak boleh menjadi inti frasa. Sebaliknya kata jenis ini hanya mendukung sesuatu tugas tertentu dalam binaan ayat, klausa dan frasa. Kata tugas terdiri daripada kata penyambung ayat seperti dan, atau, tetapi, lalu, malahan, sambil, serta, kemudian, yang, bahawa, untuk, dan sebagainya, kata praklausa seperti aduh, cis, syabas, berapa, bila, jemput, ya, hatta, adapun, dan sebagainya, kata prafrasa seperti telah, sedang, akan, belum, hendak, dapat, paling, nian, -kah, -tah, hanya, bukan, ialah, di dan sebagainya, dan kata pascakata, iaitu –nya. Oleh itu, kata tugas tidak boleh didampingi kata bilangan, kata bantu atau kata penguat.

Sunday, January 24, 2010

Siri 323 – Ayat

Soalan:
Adakah terdapat sebarang kesalahan dalam ayat ini? Terima kasih banyak.

Kini kehidupan mereka lebih selesa berbanding dengan pada masa dahulu.

Daripada:
"athirah nazri"

Jawaban:
Ayat yang betul dan tepat ialah:
Kini kehidupan mereka lebih selesa berbanding dengan kehidupan pada masa dahulu.

Saturday, January 23, 2010

Minda Pelajar Siri - 2

Buku Bahasa Melayu dipinggirkan?

Siri 322 – satu, suatu, sebuah

Soalan:
Tuan,
Yang manakah yang gramatis?

1. satu karangan

2. sebuah karangan

3. pada satu hari

4. pada suatu hari

Drp:
Cikgu N.

Jawaban:
Semuanya betul. Frasa nama `sebuah karangan’ sebenarnya tidak gramatis. Namun demikian, frasa ini telah digunakan secara leluasa dan mantap. Oleh itu, frasa ini diterima sebagai betul.

Kesilapan ini berpunca daripada kekeliruan pengguna tentang karangan (batu karang) dan juga karangan bunga (gubahan bunga). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, karangan bermaksud gubahan bungan, cucukan manik dan susunan. Ayat contoh yang diberikan ialah “Di atas meja, terletak sebuah karangan bunga yang indah”.

Dalam bahasa Melayu, sesuatu yang bersifat abstrak tidak memerlukan penjodoh bilangan `sebuah’ seperti *sebuah cita-cita, *sebuah kenangan, dan sebagainya. Adakah hasil penulisan karangan yang kita baca itu bersifat abstrak? Bolehkah kita nyatakan hasil penulisan itu sebagai `sebuah karangan’?

Oleh sebab penggunaan frasa `sebuah karangan’ telah mantap, maka penggunaan penjodoh bilangan `sebuah’ perlulah kita terima.

Wednesday, January 20, 2010

Siri 321 – budaya lepak atau budaya melepak

Soalan:
Cikgu, yang manakah antara yang berikut gramatis?

(i) budaya lepak atau budaya melepak

Terima kasih.

Drp:
Chow

Jawaban:
Frasa nama yang tepat ialah budaya lepak. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, budaya lepak bermaksud amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah. Ayat contoh:

1.Budaya lepak yang pada peringkat awalnya dilakukan oleh kutu-kutu jalan telah dikuti oleh remaja

Perkataan melepak pula bermaksud berbuat sesuatu yang tidak mendatangkan faedah seperti duduk-duduk di kompleks beli-belah tanpa tujuan, berbual-bual kosong dan sebagainya.Ayat contoh:

2.Pada prinsipnya, remaja yang suka melepak itu merupakan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.